Cinta? Semua sekalian umat manusia tahu apa itu cinta. Terlalu banyak bait-bait aksara untuk menggambarkan cinta. Cinta itu. Cinta ini. Cinta begitu. Cinta begini. Bahkan kadang-kadang melebih-lebih pun ada. Siapa aku untuk menyangkal persepsi mereka. Kerana mereka berhak untuk mentakrifkan cinta sebagaimana keinginan mereka.
Perlukah aku bercinta? Cinta yang belum lagi diyakini. Saat hati kosong saat jiwa tak berperasaan,terkadang hati dijentik rasa cemburu melihatkan sahabatku dengan dunia cintanya. Terbit rasa rendah diri kerana aku masih tidak berteman seperti mereka. Perlukah aku bercinta hanya kerana ingin dicintai semata-mata? Bercinta hanya kerana ingin adanya seseorang yang kisahkan aku? Bercinta hanya kerna menginginkan seseorang disisiku?
Nah, aku terlupa. Silap,selalu lupa sebenarnya. Aku punyai Dia yang selamanya sudi untuk mencintaiku selagi oksigen masih menyalur ke rongga pernafasanku. Ya, aku selalu lupa. Dialah cinta yang sebenar-benarnya dalam hidup setiap insan. Cinta Dia yang sepatutnya menjadi tujuan aku selama ini. Bukan cinta yang biasa-biasa,bukan cinta yang olok-olok. Terlalu agung dan abadi sebenarnya. Kenapa selama ini mata hatiku tidak merasai semua ini? Kerana selama ini mata hatiku dibutakan dengan kepalsuan indahnya fatamorgana. Terlalu asyik dengan gelora dunia sehinggakan aku jauh dari Kekasihku Yang Satu.
Ya, aku silap mengorak langkah dalam mencari cinta sebelum ini. Tersilap percaturan. Tersilap arah. Aku sangka kompas hidupku bisa menuntun aku ke arah yang diredhaiNya. Namun, aku silap. Silap terjerumus dalam cinta sesama manusia. Cinta yang belum lagi diyakini apatah lagi cinta yang halal. Mungkin tipisnya iman di dada membuatkan aku mudah tersungkur di lembah dosa. Mungkin aku terlalu terpesona dengan indahnya cinta yang haram sebelum ini. Mungkin aku terlalu leka dengan rasa yang membuai-buai.
Aku bangkit. Bangkit dari segala dosa yang menyelubungi. Dia hadiahkan aku dugaan hidup untuk menegurku atas segala khilaf aku selama ini. Dugaan, yang pada mulanya aku sangkakan aku tidak mampu untuk bertabah dan kuat. Namun, aku salah lagi. Rupa-rupanya, aku kuat! Subhanallah. Sungguh tidak aku sangkakan aku mampu mendepani ujian yang dihadiahkan untukku. Biarpun begitu lama memakan masa untuk menyembuh, namun ianya benar-benar membuka hatiku bahkan ku temui cinta yang selama ini yang kudambakan,cinta sejatiku. Ternyata benar, sesungguhnya Allah swt tidak akan menguji hambaNya melebihi kudrat hamba-hambaNya. Allahu Rabbi.. Ujian tanda Allah sayang,kan?
Sematkan di hati,
Allah swt enggan biarkan kita hanyut dengan cinta yang tidak tentu hala kerana itu Dia belum puas untuk menjaga kita.
Saat hati mula terpatri dengan cintaNya, jiwa dengan automatiknya akan menjadi lebih tenang, lebih redha dan lebih ikhlas. Semuanya kerana redup kasihNya yang tidak berbelah bahagi terhadap hamba-hambaNya. Hanya kita yang selalu melupakanNya. Buktinya, apabila kita dalam kesusahan, barulah kita terhegeh-hegeh berdoa kepadaNya. Padahal, Allah telah berfirman,
Maka berzikirlah (ingatlah) kepadaKu, nescaya Aku akan mengingatimu.. Apabila engkau ingat kepada-Ku ketika sunyi sepi,nescaya Aku akan ingat pula padamu dalam sunyi sepi.
Bukan menunding jari kepada sesiapa tapi untuk diriku sendiri. Aku tahu satu jari telunjukku kepada mereka sembilan lagi menuntun kepadaku. Yang sebelum ini tersasar jauh dari landasaan keredhaan Allah swt.
Hasbunallah wa ni'mal
wakil
Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan
Allah adalah sebaik-baik pelindung.
p/s: kita tak pernah sendiri, sedangkan 24/7 Raqib & Atid pun setia bersama kita :)
0 comments:
Post a Comment